Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
TUNGKU, Sabtu, 7 Mac. - Al-Quran mengandungi 30 juz, 114 surah, 6,236 ayat dan 77,845 kata, yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai rujukan, panduan dan pedoman bagi setiap umat hingga hari ini.
Adalah menjadi satu kelaziman apabila telah selesai menghabiskan 30 juz bacaan Al-Quran, acara Khatam Al-Quran akan turut diadakan sebagai tanda penghargaan bagi merafakkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin-Nya jua dapat mengkhatamkan Al-Quran.
Sehubungan itu, seramai 101 orang iaitu 41 peserta lelaki dan 60 perempuan yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Muslimah Masjid Universiti, UBD, jemaah lelaki dan perempuan Masjid Universiti, UBD diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di masjid berkenaan, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut, Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle.
Bacaan Tadarus Al-Quran terdahulu telah diadakan pada setiap malam dimulai pada malam pertama Ramadan dan menamatkan bacaan pada malam 15 Ramadan.
Majlis Khatam Al-Quran ini juga turut diselajurkan dengan acara 'Tadabbur Al-Quran: Dibaca, Difahami dan Diamalkan, Mengubah Kehidupan' sempena Nuzul Al-Quran yang disampaikan oleh penceramah undangan, Dr. Awang Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk.
Majlis juga dihadiri oleh penghulu, ketua-ketua/pemangku ketua kampung Rancangan Perumahan Negara Kampung Rimba Kawasan 1-6.
Melalui majlis ini juga dihasrat dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan mengimarahkan masjid dalam kehidupan terutama sekali di dalam bulan Ramadan yang penuh rahmat dan mulia ini.
Dengan mengimarahkan dan menghidupkan lagi masjid pada malam-malam di bulan Ramadan dengan mengamalkan membaca Al-Quran juga dapat menyedarkan masyarakat terhadap kewajipan dan tanggungjawab mengamalkan nilai keislaman dalam kehidupan seharian.
Selain itu, ia juga diharap dapat melatih masyarakat untuk membaca ayat-ayat suci Al-Quran dengan baik di samping memberi pendedahan akan kepentingan menguasai serba sedikit ilmu tajwid.
Semoga majlis seumpama ini dapat menjadi perintis dalam melahirkan masyarakat yang berterusan dalam pengamalan amalan seperti yang dihasratkan.